Selasa, 5 Mei 2009

HAMPIR 100.000 MOHON JADI GURU


Oleh ZULKIFLI ABDULLAH
zulkifli.abdullah@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Profesion perguruan semakin mendapat tempat di kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan hampir 100,000 orang memohon untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan SPM (KPLSPM) bagi pengambilan sesi Julai ini.

Ini sekali gus menimbulkan persaingan sengit di kalangan pelajar sedangkan pihak Kementerian Pelajaran hanya mampu menempatkan 6,200 orang untuk mengikuti kursus pendidikan di dalam dan luar negara.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom (gambar) yang menyifatkan bilangan tersebut sebagai satu petanda positif terhadap kerjaya perguruan di negara ini.

"Pada tahun ini, seramai 1,877 pelajar yang memperoleh 9A hingga 15A dalam SPM 2008 memohon untuk mengikuti pengajian dalam bidang pendidikan di luar negara. Daripada bilangan itu, seramai 100 pelajar terpilih untuk dihantar ke United Kingdom.

"Mereka dipilih untuk mengikuti Program Penghantaran Pelajar Cemerlang Ke Luar Negara khusus pembelajaran dalam bidang kritikal seperti Fizik dan Biologi,'' katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi di sini semalam.

Alimuddin memberitahu, Kementerian Pelajaran memang mencari dan memilih pelajar cemerlang serta berkualiti yang berminat untuk mengikuti kursus perguruan.

Bagaimanapun, mereka perlu melalui tiga tapisan termasuk menghadiri proses temu duga dan menduduki Ujian Sahsiah Keguruan (INSAK) secara bertulis.

Sumber:http://www.kosmo.com.my/

2, 500 WARGA PENDIDIK MERIAHKAN SAMBUTAN HARI GURU

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my

TERENGGANU akan menjadi tuan rumah Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-38 yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 16 Mei ini.

Pengerusi Pengelola Sambutan Hari Guru Kebangsaan 2009, Zulkifly Mohd Wazir, berkata majlis dijadualkan berlangsung di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu dan acara terbabit dinantikan warga pendidik kerana tahun ini adalah sambutan kali pertama bersama Perdana Menteri dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kira-kira 2,500 tetamu membabitkan wakil pelbagai peringkat seluruh negara akan hadir memeriahkan majlis pelancaran bertema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’.

Selain itu, katanya, sambutan bermula 13 Mei itu akan diadakan di dua tempat berasingan iaitu pameran inovatif dan kaedah pembelajaran di Terengganu Trade Centre, manakala kegiatan lain di TTI.

“Berbeza sambutan sebelum ini, pameran diadakan di lokasi berlainan kerana memikirkan tempatnya strategik bagi memasyarakatkan ilmu kepada pengunjung.

“Acara lain dirancang termasuk pertandingan bahas (13 hingga 15 Mei), Majlis Makan Malam serta penyampaian anugerah yang akan diadakan di kediaman Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, baru-baru ini.

Zulkifly yang juga Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, berkata anugerah disampaikan Muhyiddin sempena Majlis Makan Malam pada 15 Mei, manakala tiga lagi oleh Najib, keesokan harinya.

“Sambutan kali ini dijangka lebih meriah kerana warga pendidik pastinya mahu mendengar idea baru yang akan disampaikan Perdana Menteri dan timbalannya yang juga Menteri Pelajaran,” katanya

SUMBER :http://www.bharian.com.my/