Jumaat, 8 Jun 2012

ISU KENEGARAAN : 'Generasi Y' Bakal Tentukan Keputusan PRU-13


Oleh RAZAK AHMAD

PETALING JAYA : Empat daripada 10 pengundi baru didaftarkan adalah di bawah kategori 'Generasi Y' yang akan menentukan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Ekoran itu, Barisan Nasional (BN) mahupun pakatan pembangkang sedang berusaha keras untuk mendekati kalangan pengundi ini.

Daripada seramai 12,912,590 pengundi berdaftar di seluruh negara sehingga kini, 5,175,096 atau 40 peratus pengundi berusia antara 21 hingga 39 tahun.

"Generasi Y' merupakan mereka yang terdiri daripada kumpulan celik teknologi, dilahirkan antara 1980 dan 2000.

Generasi tersebut sering disifatkan sebagai 'berfikiran bebas dan kesetiaan politik mereka tidak tetap' kerana akses yang lebih luas kepada maklumat.

"Kebanyakannya merupakan 'pengundi atas pagar' yang akan membuat keputusan pada saat-saat akhir," kata pensyarah Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian yang melakukan kajian terhadap 1,500 pengundi muda baru-baru ini.

"Kedua-dua parti politik perlu mengerah tenaga untuk memikat hati pengundi muda ini."

Pensyarah Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Shaharuddin Badaruddin berkata, pengundi yang berusia 40 tahun ke atas merupakan penyokong tetap atau sebaliknya sama ada BN atau pakatan pembangkang dengan kedu-dua parti memperoleh sokongan hampir sama.

Beliau berkata, generasi muda yang sebahagian besarnya adalah 'pengundi atas pagar' boleh menjejaskan keputusan pilihan raya kedua-dua parti.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar bersetuju bahawa golongan tersebut tidak mengikut apa yang dikatakan orang lain. Jika seseorang melihat dari perspektif ini, maka pengundi muda mungkin menjadi penentu, walaupun tiada sesiapa yakin mengenai perkara ini."

Sejak 2008, BN dan Pakatan Rakyat sentiasa menarik perhatian pengundi 'Generasi Y'.

Bagaimanapun, kedua-dua parti dapat meramalkan dengan tepat kelakukan kumpulan ini semasa mengundi.

"Semua strategi dan polisi sejak 2008 sentiasa disasarkan ke atas pengundi muda."

"Sejak dari itu, kami menyedari bahawa kumpulan terbesar pengundi pada pilihan raya akan datang terdiri daripada pengundi muda," kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, jumlah 'pengundi atas pagar' di kalangan pengundi muda kekal pada kadar tertinggi iaitu 65 peratus.

Undi 'Generasi Y' juga merupakan keutamaan untuk Pakatan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata 40 peratus daripada calon parti adalah berusia dalam lingkungan 30 hingga 45 tahun sebagai usaha untuk memancing pengundi muda.

"Pengundi muda kebanyakannya non-partisan, jadi kami perlu mendekati dan meyakinkan mereka bahawa kami adalah parti terbaik untuk mewakili mereka," katanya.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU EKONOMI : Logo buatan Malaysia tingkat keyakinan pengguna


KUALA LUMPUR : Penggunaan logo buatan Malaysia pada produk tempatan bukan saja mampu meningkatkan keyakinan pengguna malah memberi kelebihan kepada syarikat jika ingin memasuki pasaran antarabangsa.

Dalam senario perdagangan global yang semakin sengit hari ini, pengesahan negara pengeluar menjadi salah satu kriteria utama bagi sesebuah syarikat untuk memasarkan produk mereka di negara lain bagi mengelak lambakan pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri, berkata bagi perdagangan serantau ASEAN, pengesahan logo buatan Malaysia dapat memberi insentif pengecualian cukai melalui Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA).

“Hasil kajian yang diterbitkan American Journal Of Scientific Research pada 2010 berhubung persepsi pengguna negara ini terhadap jenama antarabangsa mendapati hanya 25 peratus rakyat berpendapatan kelas pertengahan dan atasan gemar membeli barangan jenama antarabangsa.

“Manakala 75 peratus lagi masih setia kepada produk buatan Malaysia. Kajian itu juga menunjukkan 55 peratus daripada golongan muda di negara ini sanggup berbelanja untuk produk tempatan berkualiti,” katanya pada Ekspo Beli Barangan Malaysia 2012 di sini, semalam.

Ekspo berkenaan yang diadakan bagi memasarkan produk tempatan dengan penyertaan lebih 100 pempamer dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada tahun lalu penganjuran ekspo terbabit berjaya mencatat rekod jualan sebanyak RM50 juta berbanding RM26 juta pada tahun sebelumnya dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat tahun ini.

Sementara itu, Muhyiddin meminta syarikat tempatan supaya menjaga mutu kualiti produk yang  dihasilkan  selain berusaha untuk memasuki pasaran antarabangsa tanpa bergantung harap terhadap pasaran domestik semata-mata.

“Pertumbuhan di enam negara ASEAN (Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura Thailand dan Vietnam) serta Cina dan India sudah berkembang pada kadar 8.2 peratus tahun lalu dan pertumbuhan ini dijangka akan terus rancak pada tahun ini.

“Justeru, saya menyeru kepada syarikat pengeluar produk tempatan untuk mengambil peluang ini dan mengembangkan pemasaran produk ke pasaran serantau,” katanya.

Muhyiddin berkata, hasil kajian Bank Negara juga mendapati purata gaji sektor swasta meningkat secara purata empat peratus tahun lalu selain peningkatan pendapatan luar bandar secara signifikan, memberi kesan berganda kepada ekonomi negara sekali gus membina daya tahan ekonomi terhadap krisis kewangan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Menyubur budaya perpaduan dalam organisasi


Oleh Sharifah Hayaati
bhagama@bharian.com.my

Perbincangan, nasihat penuh adab etika mampu mengurangkan percanggahan pendapat

ANTARA kebahagiaan yang Allah kurniakan kepada kita ialah kehidupan yang saling memerlukan dan bergantungan antara satu sama lain, termasuk dalam aspek pengembangan buah fikiran, kepakaran, pandangan dan nasihat.

Dalam hal ini, setiap kita pula mempunyai kelebihan minda yang tersendiri. Ia adalah suatu anugerah Allah SWT yang berupa nikmat agar kita boleh saling bertukar-tukar pandangan dan saling memberi dan menerima manfaat sesuai dengan kelebihan dan keupayaan daya fikir minda masing-masing.

Justeru, bukan menajamkan akal dengan daya fikir saja yang penting tetapi juga usaha untuk saling memanfaatkannya dalam kalangan masyarakat dan warga organisasi perlu sentiasa dipupuk dengan harmoni.

Daripada nilai saling bergantungan dan memanfaatkan pandangan yang baik dan bernas inilah akan menyumbang kepada penyatuan fikrah dan melahirkan kekuatan tindakan dalam segenap aspek kehidupan khasnya dalam pengembangan organisasi.

Oleh sebab itulah Allah SWT memerintahkan untuk bermusyawarah dalam berurusan seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan diperintahkan untuk kamu bermesyuarat dalam urusan antara kamu.” Justeru, nilai saling menghormati dan menghargai pandangan perlu dipupuk dalam diri kita dan dalam kalangan setiap penjawat organisasi tanpa mengira kedudukan. Perpaduan yang sebenar lahir daripada penyatuan fikiran dan hati yang dijelmakan dalam pelbagai bentuk perpaduan lahiriah.

Namun, sifat kebergantungan kepada buah fikiran, pendapat dan nasihat sesama individu tidak akan tercapai dengan murni jika tanpa etika dan adab dalam memberi dan menerimanya. Apa yang sebaliknya pula boleh berlaku jika tanpa etika dan adab adalah persengketaan, pertikaman lidah dan permusuhan yang meleraikan ikatan pergantungan, memadamkan hasrat perkongsian pandangan dan dalam jangka masa panjang akan melemahkan daya kreativiti berfikir dalam kalangan anggota kerja yang merugikan kemajuan organisasi.

Etika dan adab dalam melahirkan penyatuan fikrah dalam organisasi itu perlu mengambil kira empat sudut iaitu sudut penyampaian pandangan, isi kandungan atau perkara yang hendak disampaikan, tindak balas pandangan dan implikasi pandangan terhadap individu, organisasi, pelanggan dan negara.

Antara etika dan adab menyalurkan pandangan ialah :


Pertama, hendaklah ia disampaikan dengan niat yang baik, jujur serta dengan pertuturan dan bahasa tubuh yang baik serta menyenangkan. Walaupun kadangkala kita beremosi dalam meluahkan pandangan terutama apabila ingin menegaskan sesuatu yang penting, adab menyalur-kannya perlu dijaga supaya hasrat dan isi perbincangan dapat difahami dengan baik.

Kedua, hendaklah ia bermatlamatkan kesejahteraan ramai berbanding untuk kepentingan diri atau peribadi.

Ketiga, hendaklah pandangan yang disampaikan itu datangnya dari sumber pengetahuan dan maklumat yang sahih.

Keempat, hendaklah ia disampaikan dengan jelas serta mengambil kira tahap, laras pemikiran, suasana persekitaran, masa, tempat dan keadaan mereka yang menerima pandangan. Bijak pandai ada mengatakan, “cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar”. Kata-kata ini mengandungi nasihat dan panduan supaya beradab dan berhati-hati dalam meluahkan pandangan.

Kelima, menyampaikan sesuatu yang benar dengan sabar dan tabah serta keberanian walaupun pahit. Hal ini bersesuaian dengan peringatan Rasulullah SAW: “Sampaikanlah kebenaran walaupun pahit.” – (Riwayat al-Bukhari)

Keenam, penerima hendaklah berlapang dada dan berfikiran positif dalam mendengar dan memahami pandangan.

Ketujuh, penerima hendaklah memberi perhatian kepada isi kandungan, hasrat dan matlamat penyampaian berbanding status penyampai seperti kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib: “Lihatlah kepada apa yang diperkatakan seseorang bukannya kepada siapa yang berkata.”

Kelapan, bersedia dan bersungguh-sungguh mengaplikasikan pandangan yang dipersetujui ramai dalam membentuk tindakan dengan terancang dan tersusun rapi supaya manfaatnya dapat diperlebarkan kepada masyarakat dan organisasi.

Kesembilan, bersedia untuk mengubah pandangan dan keputusan yang terhasil daripadanya walaupun setelah ia dipersetujui apabila terdapat keperluan baru yang mendesak, lebih utama, dan memberi manfaat yang menyeluruh dalam jangka masa panjang.


Kesepuluh, saling menghormati dan menghargai buah fikiran dan pandangan individu lain walaupun pandangan kita tidak dipersetujui.

Setiap perbincangan pasti akan memberi pelbagai manfaat yang boleh dikutip untuk kebaikan nilai diri antaranya jaringan kerja baru. Ini akan melahirkan suasana menang-menang dalam perbincangan. Justeru, marilah kita memupuk nilai saling menghargai, menghormati dan memerlukan dalam menerima setiap butir pandangan daripada anggota organisasi kerana ia boleh menjadi input berguna ke arah kesejahteraan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Bahana orang ketiga


Oleh Saadiah Ismail
saadiah@bharian.com.my

Pihak musnahkan rumah tangga pasangan boleh didenda, penjara

ALAM percintaan dan hidup berumahtangga ternyata memang jauh bezanya. Jika dulu sedang hangat bercinta, pelbagai janji manis ditabur untuk hidup setia dan sayang selamanya, tetapi selepas berkahwin, lain pula jadinya.

Ada saja yang tidak kena di mata, maklumlah dulu tidak serumah, kini sudah hidup berdua. Segala-galanya perlu dikongsi tidak kiralah baik buruk pasangan anda.

Ketika itulah segala janji manis ditagih kembali dalam usaha menjadikan hidup berumahtangga berada zon selesa. “Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”, lalu walau sebesar manapun cabarannya, tangani dengan rasional bukan emosional.

Namun, bukan semua diimpikan menjadi kenyataan. Panas disangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Suami diharap menjadi ketua keluarga dan ayah kepada anak comel, berubah fikiran dan hati.
Isteri diharap mampu menolong mengemudikan bahtera bersama, pula sanggup berpaling tadah.

Waktu itu, siapa sangka tiba-tiba kebahagiaan sepanjang perkahwinan diragut sekelip mata oleh kehadiran orang ketiga yang dianggap sebagai meruntuhkan ‘masjid’ dibina. Kala itu, terkenang kembali janji manis dan harapan hidup bersama bagaikan telur di hujung tanduk. Semuanya tinggal omongan kosong.

Hakikatnya, orang ketiga bukan hanya merujuk kepada kekasih gelap dan sebagainya, tetapi ia boleh berlaku dalam keluarga itu sendiri serta orang sekeliling.

Lalu bagaimana menghadapi gangguan pihak ketiga ini? Apakah cara menanganinya? Bolehkah mereka ini didakwa kerana meruntuhkan ikatan perkahwinan?

Ada dua cara untuk menanganinya - sama ada anda membiarkannya saja atau berjuang mendapatkan kembali hak. Sebenarnya, untuk pengetahuan umum, ada cara bagaimana mengatasi masalah itu dan mengembalikan semula kebahagiaan jika anda sayangkan keluarga.

Menurut Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, mereka yang dikategorikan sebagai orang ketiga boleh merujuk antara pasangan kekasih lelaki dan wanita, wanita dengan wanita (lesbian), lelaki dengan lelaki (gay), kalangan keluarga, saudara mara, adik beradik, ibu bapa atau datuk dan nenek.

Ujarnya, sebanyak 12 peratus punca perceraian di negara ini disebabkan faktor orang ketiga. Kebanyakan kes dilaporkan adalah membabitkan perbuatan dalam bentuk fizikal atau pun spiritual (sihir). Gangguan dalam bentuk fizikal biasanya membabitkan permainan cinta tiga segi atau pasangan itu bermain kayu tiga.

“Akibat kemaruk cinta, akhirnya pasangan itu bercerai. Ada kes yang agresif iaitu sehingga tahap melarikan isteri orang atau menyebabkan suami meninggalkan isteri dan anak semata-mata menurut kata kekasih. Mangsa juga akan menghadapi perkara yang sama jika diganggu dari bentuk spiritual,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Katanya, apabila berlaku gangguan pihak ketiga, individu berkenaan perlu melaporkan kepada Jabatan Agama Islam di kawasan mana kesalahan itu berlaku. Pihak jabatan akan membuat siasatan dan jika ada bahan bukti, saksi dan kes kuat, barulah pihak ketiga akan didakwa di bawah prosedur jenayah syariah.

“Dakwa atau tidak, menang atau kalah kes berkenaan berdasarkan kepada beban bukti, saksi, bahan bukti, dokumen dan keterangan bukan berdasarkan kepada cakap-cakap kosong atau cerita dari mulut ke mulut.

Pihak yang berumahtangga tidak boleh mendakwa pihak ketiga itu sesuka hati saja,” katanya.

Musa berkata, apabila perkara seperti ini berlaku, orang ketiga itu memang boleh didakwa dengan semua bahan bukti atas melakukan kesalahan mengganggu atau memecahbelahkan rumah tangga pasangan berkahwin sehingga mereka bercerai mengikut Seksyen 36 dan Seksyen 37 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997.

“Jika sabit kesalahan, mereka terbabit boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Bagaimanapun, Musa mengingatkan, apabila berlaku perkara sebegini, pasangan suami isteri perlu mengambil langkah bijak menyelamatkan institusi rumah tangga itu sendiri. Jangan terlalu mengikut perasaan dan cara lain termasuk cuba jauh atau pisahkan pasangan daripada pihak ketiga.

“Jika ibu bapa yang menjadi masalah bagi pasangan yang tinggal sebumbung, cubalah cari rumah sendiri atau sewa di tempat lain.

“Sebaliknya, jika pihak ketiga ialah rakan sepejabat atau senegeri, cuba pindah ke negeri lain.

“Selepas melakukan langkah berkenaan, pasangan cuba lihat kelemahan diri masing-masing. Jangan terlalu meletakkan kesalahan pada pasangan kerana kadang kala kelemahan diri sendiri juga boleh menjadi punca kepada gangguan pihak ketiga.

“Jika semua langkah sudah dilakukan tapi masih gagal, suami isteri perlulah menerima kenyataan jodoh mereka setakat itu saja. Ambil dengan baik, maka lepaskan pasangan dengan cara baik,” katanya.

Musa turut berpesan mereka yang mengganggu gugat keharmonian rumah tangga orang lain, hukum karma akan datang pada dirinya sendiri.

“Hari ini dia mengganggu orang lain sehingga bercerai, tidak mustahil perkara yang sama akan berlaku kepadanya kerana banyak kes seperti ini sudah diterima.”

Sementara itu, Pakar Motivasi dan Kaunseling, Dr Robiah K Hamzah, berkata antara sebab mengapa orang ketiga boleh muncul dalam sesuatu perhubungan ialah pasangan itu sendiri yang bermasalah. Orang ketiga ini memainkan peranan tambahan dengan mendengar setiap keluhan dan masalah sedang dihadapi, akhirnya membuahkan perasaan.

Katanya, apabila orang ketiga ini bersimpati dengan nasibnya, lama kelamaan daripada sahabat, akan bertukar lain dan seterusnya mempercepatkan proses perceraian antara dua pasangan berkenaan.

“Bukan itu saja, orang ketiga juga berpunca daripada mentua masing-masing. Mentua masuk campur jika ada krisis antara pasangan berkenaan, lebih-lebih lagi jika diri anda bukan pilihan mentua. Pelbagai perkara akan diungkit seperti pendapatan yang tidak seberapa dan pelbagai keburukan menjadi senjata buat dirinya,” katanya.

Mereka yang berjawatan tinggi seperti bos juga boleh menjadi penyebab kepada keruntuhan rumah tangga yang sememangnya retak menanti belah. Apabila pekerjanya membawa masalah di rumah ke tempat kerja dan menceritakannya, tidak mustahil mereka akan mengambil kesempatan menggunakan kelebihan material untuk memikat.

“Lebih-lebih lagi mereka mempunyai kedudukan kewangan kukuh. Sedikit sebanyak ia mengeruhkan lagi keadaan pasangan itu. Wanita juga perlu berhati-hati kerana kemungkinan untuk jatuh hati dengan sahabat suami juga boleh terjadi kerana jika terlalu baik, lain pula jadinya.

“Justeru, apa yang boleh dilakukan bagi mengelakkan masalah perceraian akibat orang ketiga ini ialah dengan muhasabah diri sendiri, berbaik antara pasangan, memohon kepada Allah dan sering membaca al-Quran. Itu adalah kunci kepada kebahagiaan sejati. Setiap pasangan perlu tahu mereka inginkan kebahagiaan dalam perkahwinan,” katanya.

INFO :

Siapa pihak ketiga? 

* Pasangan kekasih lelaki dan wanita
* Wanita dengan wanita (lesbian)
* Lelaki dengan lelaki (gay)
* Ahli keluarga - adik beradik, ibu bapa, datuk nenek dan saudara mara, mentua dan keluarga mentua.
* Sahabat suami atau isteri

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : UNESCO lancar projek pulihara bahasa Kelabit, Bidayuh


SIBU : Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) melancarkan dua projek untuk memulihara bahasa Kelabit dan Bidayuh di negeri ini daripada pupus di bawah program 'Bahasa-Bahasa Terancam'.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Fatimah Abdullah, berkata kedua-dua bahasa itu dipilih kerana ianya ditutur oleh komuniti asli minoriti di negeri itu.

"Tidak ramai orang Bidayuh dan Kelabit hari ini bercakap bahasa mereka dalam bentuknya yang asal.

"Ini dapat dilihat apabila berlakunya perkahwinan campuran di mana anggota keluarga lebih gemar bercakap dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris di rumah," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Sebelum itu beliau merasmikan pembukaan Persidangan Kebangsaan Intervensi Awal Kanak-Kanak di sebuah hotel di sini.

Fatimah berkata, golongan minoriti yang lain di negeri ini juga turut menghadapi kepupusan bahasa mereka sekiranya usaha tidak dibuat bagi memulihara dan mengembangkan bahasa pertuturan mereka.


Beliau berkata, bagi masyarakat Kelabit, salah satu sebab utama ia terjadi kerana ramai di kalangan mereka sudah berhijrah ke pekan atau kawasan bandar.

"Berdasarkan suasana sedemikian, mereka lebih cenderung bercakap hanya peratusan kecil sahaja daripada bahasa asal mereka," katanya.

Berikutan perkembangan ini, kerajaan gembira bahawa Taska Bahasa Warisan di bawah Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di Kampung Bunuk, Kuching, sedang mengambil langkah bersungguh-sungguh mendapatkan guru terlatih mengajar kanak-kanak prasekolah menulis dan bercakap bahasa tersebut.

Sementara itu, UNESCO menerusi laman sesawangnya menyatakan kira-kira separuh daripada 6,000 bahasa pertuturan harian akan hilang menjelang akhir abad sekarang sekiranya usaha tidak dijalankan bagi melindunginya. - BERNAMA

ISU BAHASA : Martabat bahasa kaum minoriti



Oleh SITTI NOR AZIZAH TALATA

KOTA KINABALU 7 Jun - "Pendidikan merupakan senjata paling berkuasa yang anda boleh gunakan untuk mengubah dunia".

Itu merupakan petikan kata-kata bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela yang mengiktiraf peranan penting pendidikan dalam pembangunan individu dan masyarakat.

Jika diteliti, gesaan beliau itu tiada bezanya dengan dasar kerajaan yang turut memberi penekanan terhadap kepentingan pendidikan di kalangan rakyat bermula dari kanak-kanak lagi agar ia dapat menghasilkan perubahan positif kepada negara.

Dasar itu dilaksanakan dengan mengambil kira aspek pendidikan bahasa pribumi bagi membolehkan masyarakat penuturnya menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk memenuhi keperluan serta mencapai matlamat.

Bagi mencapai objektif tersebut, kerajaan turut dibantu pelbagai institusi bahasa seperti Summer Institutes of Linguistic (SIL) Malaysia dalam memartabatkan bahasa kaum pribumi di Sabah.

Baru-baru ini, SIL dan enam persatuan kaum minoriti Sabah mengadakan memorandum persefahaman (MoU) di Dewan Ostrich Lodge, di Kampung Rampayan Laut, Daerah Kota Belud.

Memorandum itu melibatkan persatuan tersebut dengan kaum Iranun, Tobilung, Kimaragang, Rungus, Bajau dan Lotud.

Ia disempurnakan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan turut disaksikan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Penaung Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun Sabah, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Menerusi kerjasama itu, SIL akan membantu daripada segi kajian dan penyediaan bahan-bahan pengajaran serta buku dalam bahasa kaum minoriti tersebut untuk digunakan oleh tenaga pengajar bahasa etnik di taman asuhan kanak-kanak (taska) di negeri ini.

Bahan dan buku-buku pengajaran bahasa etnik itu akan diterjemah ke bahasa Melayu dan Inggeris bagi memudahkan pemahaman kanak-kanak taska berkenaan dan dalam masa sama memastikan mereka terus mampu bertutur dalam bahasa pribumi masing-masing.

Pengarah SIL Malaysia, Hans Combrink berkata, pihaknya memberi sokongan kepada masyarakat pribumi dalam usaha membangunkan program pendidikan.

Ia bagi membolehkan kanak-kanak dan orang dewasa menjadi pembaca serta penulis yang fasih dalam bahasa warisan mereka.

Katanya, melalui pendidikan berbilang bahasa (MLE), masyarakat penutur bahasa pribumi membina jambatan positif dengan bahasa dominan tempatan tanpa meminggirkan warisan, bahasa dan budaya mereka.

"Sebenarnya, MLE membuka pintu kepada maklumat dan jalan baru untuk berkomunikasi.

"Justeru, SIL Malaysia bekerjasama dengan agensi dan pertubuhan tempatan, serantau dan kebangsaan bagi membantu masyarakat pribumi membangunkan program pendidikan dalam bahasa warisan, dwibahasa dan MLE, yang bersesuaian dengan kebudayaan tempatan masing-masing," katanya.

Combrink berkata, dengan bermulanya pendidikan menggunakan bahasa warisan, kanak-kanak daripada komuniti bahasa tempatan akan bersedia ke alam pendidikan formal.

Sementelah, katanya, MLE membolehkan mereka melangkah maju dalam dunia moden dan pada masa sama terus mengekalkan identiti bahasa dan budaya masing-masing.

Katanya, pendidikan awal kanak-kanak yang diasaskan bahasa warisan semakin diakui dan digalakkan UNESCO sebagai cara berkesan dalam pendidikan untuk masyarakat penutur bahasa pribumi.

"Kewujudan taska di Sabah yang mengajar bahasa etnik membuktikan minat kukuh berkembang dalam kalangan masyarakat pelbagai bahasa tempatan untuk mengukuhkan bahasa mereka," katanya.

Beliau berkata, SIL Malaysia akan mengembangkan kapasiti MLE di negara ini agar dapat memenuhi peningkatan permintaan melalui kerjasama dengan pihak yang mempunyai pengalaman dan kepakaran.

Jelas beliau, pihaknya juga akan terus memperbaiki bahan-bahan dan program MLE dan mencari jalan agar guru taska di kampung mendapat tauliah mengajar sebelum kanak-kanak memasuki pendidikan rasmi.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Kaum minoriti mahu bahasa pribumi diajar di sekolah



Bahan pengajaran bergambar dalam bahasa Iranun yang digunakan untuk kanak-kanak tadika turut diterjemah ke bahasa Malaysia dan Inggeris.

KOTA KINABALU 7 Jun - Persatuan kaum minoriti di negeri ini mengalu-alukan program kajian bahasa pribumi di Sabah yang dijalankan oleh Summer Institutes of Linguistic (SIL) Malaysia.

Ketua Penerangan Persatuan Lotud Sabah, Wilham Eddow berkata, langkah itu akan dapat meningkatkan kesedaran generasi muda agar terus menguasai bahasa etnik masing-masing.

"Bahasa pribumi perlu dipelihara sama ada melalui pendidikan formal atau tidak. Bagi kami, pihak persatuan sedang menghasilkan kamus bahasa Lotud yang diterjemah ke bahasa Melayu dan Inggeris.

"Kami berharap ia dapat diajar di sekolah kerana selain pertuturan di rumah, pembelajaran bahasa tempatan harus dikembangkan kepada generasi muda di peringkat kanak-kanak," katanya kepada Utusan Malaysia.

William berkata, ketika ini kaum Lotud yang tinggal di Sabah dianggarkan kira-kira 70,000 orang.

Katanya, pihak persatuan dalam usaha untuk mengetengahkan kebudayaan Lotud dari segi muzik dan pemakaian secara meluas setanding dengan bangsa lain di Sabah.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, generasi hari ini banyak tertinggal dari segi penguasaan bahasa nenek moyang mereka disebabkan beberapa faktor antaranya perkahwinan campur.

"Mungkin bahasa etnik tidak dapat dipraktikkan lagi di rumah. Justeru, langkah SIL yang melaksanakan kajian bahasa dan program memperkasakan bahasa etnik minoriti sangat dihargai," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Rungus Sabah (RCA), Jornah Mojihim mengakui pada masa ini ramai anak tempatan tidak mampu bertutur dalam bahasa sendiri, sekali gus menyebabkan mereka tidak memahami sejarah dan budaya etnik sendiri.

"Dalam hal ini, semua pihak terutama ibu bapa hendaklah memastikan mereka mengajar anak-anak bahasa Rungus. Kami tidak mahu anak Rungus tidak tahu bahasa tempatan," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KESIHATAN : Sekolah perlu bebas Aedes sebelum persekolahan bermula


KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan meminta pihak pengurusan semua sekolah di seluruh negara supaya memastikan kawasan persekitarannya bersih dan bebas daripada pembiakan Aedes sebelum sesi persekolahan bermula setelah bercuti dua minggu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata pihak sekolah perlu mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk memastikan mangkuk tandas dipam, memasukkan ubat pembunuh jentik-jentik (Abate) dalam kolah atau takungan besar serta menyembur Aerosol ke dalam kelas-kelas yang tertutup sepanjang cuti persekolahan sejak 25 Mei lepas.

Beliau berkata tindakan kompaun maksimum sebanyak RM500 akan dikenakan terhadap pengetua atau guru besar sekolah yang didapati membiarkan sekolah menjadi tempat pembiakan aedes.

"Pemeriksaan kementerian terhadap 10,591 sekolah dari Januari sehingga 25 Mei lepas mendapati 723 sekolah mempunyai kawasan pembiakan aedes," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi tempoh itu, katanya sebanyak 554 kompaun telah dikeluarkan kementerian dengan nilai kompaun RM277,000.


Dr Hasan turut mengingatkan masyarakat bahawa tanggungjawab membersihkan kawasan persekitaran kediaman bukan hanya terletak di bahu Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan sebaliknya menjadi agenda masyarakat setempat.

"Jawatankuasa Penduduk perlu mengatur program gotong-royong apabila mendapati kawasan persekitaran tidak bersih dan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes," katanya.

Menurutnya kes denggi mulai Januari hingga 2 Jun tahun ini telah meningkat sebanyak 19 peratus kepada 10,352 berbanding 8,720 kes bagi tempoh sama tahun lepas di seluruh negara.

Malah, kematian akibat denggi juga meningkat kepada 20 bagi tahun ini berbanding 14 orang tahun lepas, katanya.

Beliau berkata bagi tempoh 27 Mei hingga 2 Jun lepas, sebanyak 349 kes dilaporkan dengan lima negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya.

Negeri berkenaan ialah Sarawak dengan tujuh kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (empat), Perlis (tiga), Terengganu (tiga) dan Negeri Sembilan (satu kes).

Selain itu, sebanyak 69 lokaliti dikenal pasti mengalami wabak denggi yang melibatkan 17 daerah tetapi tiada lokaliti 'hot spot' dilaporkan.

Kementerian Kesihatan turut mendapati 1,026 premis menjadi kawasan pembiakan aedes daripada 66,907 premis yang diperiksa pada minggu lepas, kata Dr Hasan. - Bernama.